Monday, April 2, 2007

AGAMAWAN MENDEPANI ALAF BARU

Mukadimah

Ramai yang masih terkeliru mengenai peranan sebenar mahasiswa dan agamawan. Begitu banyak pandangan, kritikan, nasihat, teguran, tohmahan, kutukan serta bermacam lagi yang dilontarkan kepada mahasiswa. Apa pun asas terpenting yang perlu dipikul adalah amanah terhadap Allah S.W.T. Firman Allah Taala :

انا عرضنا الامانة إلى السموات والارض و الجبال فأبين ان يحملنها و اشفقن منها و حملها الانسان انه كان ظلوما جهولا

Maksudnya : Sesungguhnya kami telah bentangkan amanah ini kepada langit, bumi, bukit- bukau namun semuanya enggan dan menolak kerana bimbang tidak dapat melaksanakannya, kemudian ianya diterima oleh manusia. Sesungguhnya manusia adalah zalim lagi jahil. (Al Ahzab: ayat 72)

Tiada satu pengecualian kepada mana-mana makhluk yang bergelar manusia di atas muka bumi Allah ini untuk memikul amanah. Menurut Qurtubi, Ibn Kathir serta Fakhrul Razi dan Al-Mawardi, amanah membawa maksud menegakkan agama serta mentadbir seluruh dunia dengan berlandaskan agama.

Fenomena Masyarakat Masa Kini

Meneliti dan menganalisis realiti semasa umat, tanpa diragukan sememangnya terdapat unsur-unsur yang merupakan masalah, cabaran dan ancaman. Ini termasuklah hal-hal yang melibatkan soal pemikiran, sosial, ekonomi, pendidikan dan politik, hatta yang membabitkan akidah umat.

1. Sosial

  1. Latar belakang :- Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan komposisi kaum yang berbeza. Kebanyakannya menganuti 3 agama terbesar : Islam, Buddha dan Hindu. Taburan penduduk tidak sekata [Melayu - luar bandar, Cina - bandar, India - ladang]

  1. Pemasalahan:

i. Keruntuhan akhlak:

- Sumbang mahram: sebanyak 423 kes direkodkan pada 1996 dan 1997.

- kes rogol antara ahli keluarga sebanyak 200 kes pada 1996 [sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat]

- 350 000 remaja melayu terlibat dengan dadah dan 17 000 penagih dadah baru dikesan pada 1998.

- Seramai 21 000 orang pengidap HIV direkodkan pada Mei 1996.

ii. Pegangan agama yang lemah:

- Hanya 10% daripada 13 juta muslim yang solat lima waktu.

- 3000 orang telah memohon untuk murtad di Wilayah Persekutuan sehingga Julai 1997.

iii. Pengaruh luaran:

- Sebanyak 82% rancangan TV berunsur tahyul, 80.7% adegan ganas dan 72.8% adegan seks.

- Pengaruh internet tanpa batasan.

- Penyebaran pengaruh negatif melalui media cetak yang berleluasa

  1. Sistem Pendidikan:

Kepincangan dan kelemahan sistem pendidikan yang semakin ketara dalam sistem liberal-sekular barat telah mewujudkan banyak permasalahan yang memberi kesan kepada masyarakat antaranya:

i. Kepincangan akta pendidikan yang gagal menyeimbangkan pendidikan rohani dan jasmani.

ii. Pendidikan yang telah dikorporatkan.

iii. Akta-akta seperti AUKU yang mengongkong kebebasan mahasiswa.

2. Ekonomi

- Sistem pengurusan ekonomi dan kewangan sekular dan dikuasai golongan kuffar.

- Projek-projek gergasi yang membazir seperti Bakun, formula one, mahligai PM, KLCC dan sebagainya.

- Sistem penswastaan yang merugikan negara dan masyarakat.

- Masalah kemiskinan yang masih ketara akibat kegagalan pengurusan hasil negara yang tidak efektif.

3. Politik

- Negara telah diperniagakan ; melepaskan bebanan yang banyak kepada swasta.

- Pelbagai krisis berlaku antaranya krisis kuasa raja 1992, krisis kewangan 1997/99, krisis Anwar 1998 – sekarang.

- Perpecahan dalam parti Pemerintah [UMNO] kurang stabil.

- Tempoh pemerintahan yang terlalu lama menjadikannya kurang efektif.

- Demokrasi 'ala Malaysia' yang menindas kebebasan rakyat.

- Pilihanraya dan SPR yang diragui akibat ketidakcekapan dan ketidaktelusan.

- Pakatan politik parti alternatif yang mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Realiti Agamawan Masa Kini

1. Menerima Tekanan

Dunia masa kini jelas menunjukkan bahawa para agamawan akan sentiasa menghadapi tekanan-tekanan daripada pelbagai aspek antaranya :

i. Tekanan dalaman (diri sendiri ; sifat malas)

ii. Tekanan dari keluarga.

iii. Tekanan ekonomi (material)

iv. Tekanan persekitaran (masyarakat)

2. Kurang Ilmu

Realiti agamawan masa kini turut memperlihatkan masyarakat memperlekehkan mereka kerana ketidakmampuan dalam urusan agama dan mengupas isu-isu terkini sebagai contoh: isu ekonomi, isu perundangan dan isu politik. Isu-isu ini masih belum melihatkan penglibatan ulama’ secara meluas bagi meyakinkan masyarakat terhadap kemampuan agamawan, bahkan lebih malang lagi masih ramai agamawan yang gagal untuk mengupas dengan baik isu-isu yang melibatkan agama secara langsung contohnya; murtad, hukum hudud dan sebagainya.

3. Kurang Keyakinan Diri

- Realiti agamawan masa kini yang dapat dilihat ialah kurang keyakinan diri dalam melaksanakan pelbagai tugas.

- Penyakit rendah diri (inferiority complex) masih melanda pemikiran golongan agamawan. Perasaan yang merasakan tamadun dan kemajuan barat adalah lebih hebat dan lebih praktikal dari tamadun Islam masih lagi terdapat di kalangan agamawan masa kini.

Peranan Golongan Agamawan

1. Politik

- Mengembalikan kesedaran masyarakat supaya menghayati Islam sebagai cara hidup.

- Mendidik masyarakat dalam perubahan, pembangunan dan pentadbiran ummah.

- Memasyarakatkan pendekatan dakwah dan tarbiah serta menginstitusikan kefahaman adabul ikhtilaf (adab-adab berbeza pandangan).

- Menekankan proses keilmuan sebagai asas pembinaan tamadun ummah.

2. Ekonomi

- Menjadi tenaga penggerak untuk membangunkan ekonomi.

- Memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap ekonomi Islam.

- Meminggirkan perkara-perkara yang ditegah oleh Islam sama ada dari segi pengurusan, pentadbiran, pembangunan dan sebagainya.

3. Sosial

- Bijak menyesuaikan diri dalam tahap masyarakat yang pelbagai.

- Mempelbagaikan aktiviti-aktiviti sosial yang berlandaskan Islam.

- Mempelopori persatuan-persatuan kemasyarakatan.

- Mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu thurasi dan mu’asoroh (terkini).

- Berusaha menyebarkan ilmu kepada khalayak yang lebih luas dengan menguasai media-media semasa.

- Mempelbagaikan metodologi dakwah.

Persediaan Menghadapi Cabaran

1. Peningkatan Ilmu

Ilmu mestilah menjadi asas kepada semangat juang para mahasiswa. Tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang dan harta benda dan sebagainya. Prinsip pegangan mereka juga begitu mudah berubah mengikut peluang yang lebih menyenangkan. Ilmu bersama kejelasan matlamat Islam akan menjadi tunjang kekuatan terkuat dan syarat asas kepada seluruh gerakan dakwah Islamiah.

2. Kematangan Pemikiran dan Pengalaman

Kematangan dalam menentukan tindakan yang paling tepat lagi berkesan akan dapat menghasilkan keberkesanan gerakan dakwah dalam mempelopori sesuatu perubahan. Agamawan perlu menjadi pemerhati yang celik, pengamat yang teliti, pembaca yang tertib, perancang yang berstrategi serta pendesak yang berkesan. Untuk itu, dialog dan perbincangan dengan para ulama, cendiakawan, pimpinan negara dan alternatif, ahli profesional dan masyarakat perlu diperbanyakkan. Natijahnya dengan kefahaman itu agamawan akan mampu membuat keputusan yang berjejak di atas alam realiti berdasarkan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat.

3. Kesatuan Pemikiran dan Tindakan Gerakan

Perpaduan di kalangan agamawan perlu digemblengkan. Kefahaman yang jelas antara satu sama lain merupakan prasyarat kepada keberkesanan gerakan dakwah. Justeru, kefahaman akan tuntutan Islam sesama sendiri perlulah diselesaikan terlebih dahulu kerana ia akan mampu menyelesaikan cabangan-cabangan masalah lain.

Penutup

Daripada apa yang telah dipaparkan, menunjukkan betapa golongan agamawan itu amat penting dalam merubah suasana masyarakat seterusnya mampu menentukan halatuju politik negara. Ramai orang beranggapan, kalau kita ingin melihat rupa gaya pemimpin masa hadapan lihatlah mereka yang menjadi pemimpin-pemimpin di universiti ketika saat itu. Kalau lembab dan lemah pemimpin universiti sekarang maka begitulah keadaan pemimpinnya masa hadapan. Kalau penakut dan pengampu pemimpin mahasiswa sekarang maka begitulah keadaannya di kemudian hari. Namun sebaliknya jika pemimpin itu bersifat cintakan kebenaran hakiki, berani demi keadilan, berpandangan jauh, sentiasa kritis dan analitis maka insya Allah pemimpin pada abad akan datang akan jauh lebih berkarisma dan terkehadapan sifatnya.

Akhir kata, kita mengharapkan semua mahasiswa azhari dan golongan agamawan akan sentiasa bersifat terbuka untuk meneroka idea-idea baru yang membina untuk menuju abad yang akan datang, seterusnya mampu berjuang demi menegakkan daulah Islamiah di Malaysia. Wallahu A'lam

Rujukan: Tafsir Al-Quran

Kertas Kerja Konvensyen Gerakan Islam (Zaharudin Abd. Rahman)

Kertas Kerja Konvensyen Mahasiswa Negara (Zaharudin Abd. Rahman)

Menangani Cabaran (Mustafa Kamil Ayub)

No comments: