Monday, April 2, 2007

ANALISIS RINGKAS ASPEK-ASPEK ASAS GERAKAN MAHASISWA

Mukaddimah

Kehadiran mahasiswa/siswi di universiti-universiti adalah suatu kesempatan atau peluang yang unik yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t. s.w.t. kepada golongan ini. Dengan menikmati banyak kelebihan jika dibandingkan dengan golongan lain, mahasiswa/siswi bertanggungjawab untuk mengekalkan imej yang betul lagi benar sebagai seorang muslim, sebagai seorang wakil kepada gerakan-gerakan Islam dan juga sebagai model hidup yang melaksanakan tuntutan Ad-Din menegakkan segala sistem Islam. Inilah masanya mahasiswa/siswi belajar untuk memikul pelbagai tanggungjawab bagi persediaan menghadapi tugas-tugas yang sedia menanti pada masa akan datang. Bagi mengalami cabaran dan rintangan yang sentiasa wujud tanpa mengira zaman, mahasiswa/siswi yang baru ataupun yang telah lama berada dalam gelombang gerakan Islam perlulah memiliki pandangan yang jelas tentang beberapa perkara asas yang antara lainnya ialah hakikat mahasiswa/siswi muslim, konsep gerakan mahasiswa, bentuk pergerakan dan persediaan-persediaan yang perlu dibuat oleh mahasiswa dan agenda-agenda gerakan mahasiswa.

Hakikat Mahasiswa / Siswa

Secara umumnya mahasiswa/siswi tanpa mengira pengkhususan pengajian dianggap sebagai “cream of the society”, pewaris kepimpinan masa depan golongan yang idealis, agen perubah masyarakat, jurubicara ummah dan lain-lain tanggapan lagi yang meninggikan harga dan maruah semua mahasiswa/siswi. Tanggapan ini pada hakikatnya adalah tanggungjawab yang sepatutnya disedari dan dihayati oleh golongan yang istimewa ini. Dalam erti kata lain tiada jalan mudah bagi mahasiswa/siswi untuk keluar daripada tanggungjawab-tanggungjawab ini melainkan bertindak untuk merealisasikannya.

Tapi perlu diingat di sini, tanggapan yang menggunung akan sia-sia sahaja jika golongan mahasiswa/siswi ini gagal memahami beberapa konsep asas Islam. Kefahaman yang benar dan tetap tentang konsep-konsep asas Islam ini akan Insya Allah s.w.t. melahirkan mahasiswa/siswi muslim yang sedar akan hakikat dirinya. Antara persoalan-persoalan utamanya ialah menerima kebenaran Ilahiyat yang mutlak sifatnya, memiliki pandangan hidup yang betul sebagai seorang muslim, meneliti konsep hubungan antara Allah s.w.t. dengan manusia dan manusia sesama manusia, memahami hakikat dirinya yang terdiri daripada unsur jasad dan ruh serta pemikul amanah Allah s.w.t. di atas muka bumi dan menghalusi konsep ilmu pengetahuan dan sains Islam. Ini semua berhajatkan kepada pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t., kecemerlangan akademik, kecerdasan fizikal, kekuatan mental, kesabaran, kegigihan serta keikhlasan.

Selain itu seseorang mahasiswa/siswi muslim pada hakikatnya sepatutnya hendaklah sentiasa sedar tentang keadaan kehidupan masyarakat baik pada waktunya atau pada zaman sebelumnya, di mana kesedaran tadi tidak dapat tidak akan melahirkan perasaan tanggungjawab sosial. Dalam ertikata lain, mahasiswa/siswi yang cemerlang ialah individu yang mewujudkan perasaan tanggungjawab dan kesedaran di samping mengutarakan buah fikirannya dan halatuju sosial kepada masyarakat umum. Golongan mahasiswa/siswilah yang memimpin / memandu masyarakatnya bagaimana hendak berubah dan menentukan perubahan itu menuju ke arah mana. Mereka jugalah yang menggalakkan misi penerokaan baru dan menyediakan alternatif-alternatif dengan menyediakan jawapan kepada persoalan “Apa yang patut kita capai”. Justeru itu mahasiswa/siswi hendaklah sentiasa berusaha untuk mengubah dan membentuk semula masyarakat dengan menggunakan segala kemampuan yang mereka miliki.

Konsep Gerakan Mahasiswa

Secara umunya gerakan mahasiswa di Malaysia dijelmakan dengan sekumpulan pelajar-pelajar muslim yang mengikat diri mereka dengan satu ikatan tanzim atau organisasi tertentu yang bergerak dalam bentuk-bentuk tertentu bagi mencapai matlamat-matlamat tertentu dibawah nama-nama pertubuhan persatuan dan jamaah tertentu. Ahli-ahli dalam pertubuhan, persatuan atau jamaah tadi lazimnya akan mengikuti satu proses pentarbiyyahan yang telah disediakan oleh barisan pimpinan mereka yang mungkin diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain dengan tanpa ada penilaian dan analisis baru.

Secara idealnya gerakan mahasiswa mestilah bersifat satu gerakan bebas yang tidak bergantung atau berharap kepada mana-mana gerakan yang berada di luar kampus. Kepimpinan dalam gerakan mahasiswa ini perlulah menggunakan kreativiti mereka masing-masing untuk mengemudi dan melayari gerakan mereka. Mereka tidak sepatutnya amat mengharapkan berlakunya keselarian dan persamaan dengan gerakan di luar. Bahkan mereka tidak perlu di pertanggungjawab dengan apa yang berlaku terhadap gerakan-gerakan di luar kampus.

Gerakan mahasiswa perlulah memiliki pandangan sendiri yang dibina daripada keyakinan, keilmuan, maklumat yang dimiliki oleh mereka. Suara mahasiswa biarlah bersifat tidak menjaga kepentingan golongan tertentu yang berada di luar kampus. Suara mahasiswa akan hilang taringnya atau sudah tidak berbisa lagi sekiranya hanya bersifat ‘rubber stamp’ kepada gerakan-gerakan di luar kampus. Suara mahasiswa sebaliknya akan lebih suci dan dihormati jika lahir daripada hati-hati yang cintakan kebenaran hakiki tanpa mengenal kepada siapa ianya ditujukan. Yang salah mestilah diperbetulkan secara mati-matian, walaupun pahit untuk diterima oleh masyarakat dan gerakan-gerakan diluar kampus. Yang benar wajiblah diperagungkan walaupun jutaan cabaran yang dihadapi. Kalau adapun berlakunya persamaan dan berbetulan dengan pandangan masyarakat dan gerakan-gerakan luar kampus. Ianya dianggap sebagai suatu perkongsian kebenaran yang bersifat universal.

Walau bagaimanapun, ini janganlah disalahanggapkan seolah-olah gerakan mahasiswa langsung tidak ada hubungan dengan masyarakat dan gerakan-gerakan di luar kampus. Atau beranggapan dunia mahasiswa adalah suatu dunia yang terpisah daripada realiti masyarakat dan gerakan-geralkan di luar kampus. Atau beranggapan tidak bolehnya berlaku perkongsian idea, pengalaman, tenaga dan sebagainya antara kedua-dua kumpulan gerakan ini. Apa yang sebenarnya ditekankan disini ialah, mahasiswa atau masyarakat yang bergerak dalam realiti dunia sekular perlulah menyedari bahawa gerakan atau suara mahasiswa akan lebih ditabalkan dan dimuliakan jika mereka diberi peluang seluas-luasnya untuk menjadi agen perubah masyarakat. Dalam erti kata yang lain, biarlah gerakan mahasiswa menentukan prinsip-prinsip mereka, halatuju mereka dan bentuk gerak kerja mereka. Masyarakat atau gerakan diluar kampus tidak perlu campur tangan dalam penentuan perkara-perkara asas gerakan mahasiswa. Pada masa yang sama, masyarakat dan gerakan-gerakan luar tidak boleh memandang sinis atau sepi terhadap buah fikiran yang dikemukakan oleh gerakan mahasiswa. Manakala bagi pihak gerakan mahasiswa, mereka tidak boleh berlagak seperti pemimpin-pemimpin masyarakat atau gerakan-gerakan diluar kampus. Unsur-unsur negatif seperti menjaga kepentingan individu-individu tertentu diluar kampus perlulah dijauhi. Apa yang dikehendaki di sini ialah mahasiswa bertanggungjawab menjadikan gerakannya sebagai gerakan mahasiswa yang tulen dan tidak menjadikan gerakan mahasiswa hanya sebagai cabang-cabang kepada gerakan pertubuhan-pertubuhan, persatuan atau jamaah diluar kampus. Inilah antara konsep-konsep penting yang perlu difahami oleh semua ahli-ahli dan terutamanya barisan kepimpinan gerakan mahasiswa.

Bentuk Pergerakan Dan Persediaan Gerakan Mahasiswa

Lazimnya sesuatu gerakan itu dikatakan bergerak jika ianya sentiasa berubah dan digerakkan. Begitulah juga lazimnya perubahan dikatakan terjadi sekiranya terjadinya pergerakan fizikal. Sebaliknya tidak ramai yang menyedari bahawasanya perubahan itu boleh berlaku tanpa pergerakan fizikal. Inilah suatu asas penting yang penting yang perlu difahami oleh pimpinan gerakan mahasiswa. Bagi kita gerakan Ilahiyat untuk menegakkan keadilan pada hakikat mutlaknya adalah kepunyaan Allah s.w.t.. Kebenaran Ilahiyat ini sentiasa ada walaupun tidak ada orang yang menggerakkannya. Di samping tidak dinafikan ianya akan diperolehi bagi mereka yang berusaha untuk mendekatinya. Apa yang cuba di kemukakan di sini ialah ahli-ahli dalam gerakan mahasiswa tidak sepatutnya beranggapan bahawa tugas utama mereka adalah untuk memastikan kebenaran Ilahiyat itu dipelihara oleh mereka tanpa memikirkan Allah s.w.t. berhak memilih golongan yang lain untuk tugas ini. Atau berkeyakinan kitalah satu-satunya golongan yang dipilih Allah s.w.t. untuk tugas mulia ini. Atau berpandangan bahawa golongan-golongan yang tidak menjadi pendokong-pendokong kepada gerakan mahasiswa atau penentang-penentangnya akan terus menerus berada dalam keadaan yang sedemikian. Sebaliknya kita perlulah menyakini Allah s.w.t. s.w.t. mampu memberi hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya walaupun kita sebagai manusia tidak mampu melakukannya. Tidak mustahil individu-individu yang sekarang ini menentang kita, pada suatu hari kelak akan berada sebarisan dengan kita.

Berdasarkan kepada kefahaman inilah, ahli-ahli yang berada dalam gerakan mahasiswa tidak sepatutnya menganggap bahawa golongan-golongan yang menjadi penentang dan pencabarnya akan terus menerus manjadi penentang dan pencabarnya hingga ke akhir hayat. Apatah lagi dalam konteks kehidupan kampus, rata-ratanya pencabar-pencabar atau penentang-penentang kita adalah terdiri daripada rakan taulan dan sahabat handai yang mungkin sebilik, sekelas, sekuliah dengan kita. Tugas kita di sini ialah menyampaikan mesej kebenaran kita dengan semaksima dan seefisen yang mungkin disamping sentiasa menaruh pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t. s.w.t. Disinilah hubungan spiritual yang tinggi perlu diaplikasikan antaranya menyakini manusia khususnya umat Islam pada suatu hari nanti akan kembali kepada keadaan fitrah asalnya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan konsep pergerakan mahasiswa perlu menyedari bahawa perubahan dari satu hari ke hari berikutnya biasanya bersifat kecil atau sedikit. Perubahan dalam situasi sejarah biasanya akan menjadi kukuh selepas lima, sepuluh, dua puluh atau tiga puluh tahun. Perubahan mendadak lazimnya tidak berlaku dengan mudah. Pengiktibaran yang jelas di sini ialah gerakan mahasiswa kenalah memastikan adanya kesinambungan perjuangan dari satu generasi ke generasi yang lain. Kekosongan pergerakan dalam satu-satu tempoh atau berlakunya jurang pemisah antara tempoh-tempoh masa tertentu hendaklah dihapuskan. Ianya mesti dilakukan terus menerus walaupun sedikit kuantiti atau kurang kualitinya pada ketika-ketika tertentu.

Perlu diingat juga, perubahan tidak semestinya bersifat fizikal atau dengan terjadinya sesuatu kejadian luaran. Perubahan yang melibatkan ilmu pengetahuan, persepsi, kefahaman dan penilaian realiti walaupun tidak bersifat fizikal tetapi pada hakikatnya mempunyai kesan yang sama dan mungkin mengatasi perubahan fizikal. Inilah antara bentuk asas gerakan mahasiswa yang sebenarnya amat mustahak tetapi kurang diberi perhatian. Amat jarang mahasiswa/siswi cenderung untuk mengkaji idea-idea doktrin-doktrin, pengalaman-pengalama, perjuangan atau pergerakan Islam lain. Dari jumlah yang sedikit itu pun amat payah untuk mencari pendokon-pendokong gerakan mahasiswa yang bebas daripada bayangan kedaerahan atau tempatan. Yang sepatutnya mahasiswa perlu mengkaji idea-idea perjuangan atau pergerakan walaupun ianya datang dari luar negara. Mereka juga perlu berani untuk menerimanya, jika ianya terbukti membawa kejayaan yang membanggakan.

Gerakan mahasiswa tidak boleh lagi menumpang bentuk gerakan lama yang mungkin sudah tidak relevan buat masa ini dan abad yang mendatang. Pencarian dan penerokaan method dan alternatif baru hendaklah dipergiatkan tanpa mengira sempadan masa, tempat, rupa bangsa dan bahasa. Untuk tujuan ini usaha-usaha yang gigih dan berterusan untuk berkongsi pendapat dan menimba pengalaman daripada gerakan-gerakan mahasiswa luar negara perlu dilaksanakan. Ini juga menuntut kepada ikatan setia dan persefahaman yang bukan sekadar bersifat tempatan bahkan antarabangsa.

Seterusnya menyedari hakikat kita berada di sebuah negara sekular, mana-mana gerakan Islam khususnya gerakan mahasiswa perlulah mempelbagaikan bentuk pergerakkannya asalkan tidak mengabaikan matlamat sucinya. Gerakan mahasiswa perlulah mewarnai pergerakan mereka dengan pelbagai warna pergerakan dalam menghadapi realiti masyarakat. Perlu difahami pergerakan mahasiswa bersifat yang ‘stereotype’ telah lama dikaji oleh musuh-musuh Islam. Lantaran ini menuntut kepada pembaharuan method dan strategi serta penggunaan segala peluang dan ruang yang ada. Sebagai contoh, dalam membela nasib pelajar-pelajar di kampus, pendekatan bersepadu yang melibatkan semua kumpulan pelajar yang dipimpin oleh gerakan mahasiswa Islam hendaklah dilaksanakan. Inilah beberapa aspek bentuk pergerakan yang sekaligus berhajatkan kepada persedian-persedian yang mantap di pihak pendokong-pendokong gerakan mahasiswa

Agenda Gerakan Mahasiswa

Tidak diragui lagi setiap gerakan Islam mestilah mempunyai agenda mereka masing-masing. Begitulah juga halnya dengan gerakan mahasiswa. Sebagai mahasiswa, mereka berhak menentukan agenda mereka tanpa ada campurtangan daripada mana-mana pihak luar. Agenda mahasiswa secara idealnya tidak semestinya bersifat komprehensif seperti agenda pertubuhan, persatuan atau jemaah di luar kampus. Ini jangan disalah anggapkan yang gerakan mahasiswa tidak berhasrat untuk mencapai kesempurnaan. Sebaliknya, secara logiknya tempoh mahasiswa yang berada di menara gading dalam suatu tempoh masa yang pendek dan dibebani pula dengan pelabagai tugas akademik tidak mengizinkan mereka untuk mewujudan suatu agenda pergerakan yang bersifat komprehensif. Jesteru itu, jangan disalahkan mahasiswa jika mereka gagal untuk bergerak secara komprehensif. Sekali lagi, oleh kerana dibayangi oleh masa yang amat singkat dan tugas-tugas akademik yang banyak, gerakan mahasiswa perlulah menentukan prioriti agendanya yang mungkin ada di agenda tersebut merupakan agenda tetap gerakan mahasiswa. Dalam ruang yang terbatas ini, saya akan mengemukakan beberapa agenda asas gerakan mahasiswa.

Pertama: Agenda utama gerakan mahasiswa adalah untuk menentang kekufuran dan kezaliman dengan menegakkan kebenaran dan keadilan hakiki. Kekufuran dan kezaliman tanpa mengenal batas geografi, masa, siapa yang melakukannya, perlulah ditentang habis-habisan. Gerakan mahasiswa tidak sepatutnya membiarkan golongan penentang kebenaran terus menerus bermaharajalela. Atau membiarkan yang lapar akan terus berlapar, manakala yang menindas akan terus berkuasa. Penentangan mestilah lebih bersifat agresif dan padu jika ianya melibatkan persoalan-persoalan Aqidah dan Syari’ah Islam. Dalam lain perkataan, golongan yang cuba mempersendakan agama, yang mencucuk jarum-jarum halus sekular dan yang mencanangkan idea-idea songsang barat perlulah disingkirkan oleh gerakan mahasiswa.

Kedua: Agenda untuk menjadikan universiti sebagai pusat pergerakan Islam juga patut diusahakan oleh gerakan mahasiswa. Perlulah disedari, universiti-universiti adalah ibarat sebagai pusat latihan atau kilang-kilang yang sentiasa mengeluarkan insan terlatih atau hasil-hasil yang bermutu yang akan sentiasa berada di pasaran masyarakat. Golongan inilah yang akan memegang jawatan utama dan tinggi sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta. Mereka inilah juga akan pemimpin masyarakat dan seterusnya negara. Atau paling tidak, golongan inilah yang akan memimpin sekurang-kurangnya keluarga mereka sendiri. Jesteru peri pentingnya universiti, gerakan mahasiswa perlulah berusaha untuk menyemaikan benih-benih Islam yang benar kepada rakan taulan masyarakat kampus. Jelaskan juga tentang kesempurnaan sistem Islam kepada semua kakitangan universiti terutamanya dari golongan pensyarah-pensyarah. Panjangkan juga mesej Islam kepada kawan-kawan di kalangan bukan Islam dengan mengharapkan pada suatu hari nanti, Allah s.w.t. akan mencampakkan taufiq dan hidayah-Nya kepada mereka agar mereka akan menerima Islam sebagai Ad-Din.

Ketiga: Agenda untuk membina jaringan perhubungan yang luas juga patut dibuat oleh gerakan mahasiswa. Perlu disedari gerakan mahasiswa akan lebih efisien jika mereka mempunyai banyak sumber maklumat yang datang dari pelbagai variasi. Penguasaan segala aplikasi sistem komputer dan teknologi maklumat juga patut dipergiatkan. Perhubungan dengan masyarakat luar kampus hendaklah diteruskan. Gerakan mahasiswa perlulah menjadi penyampai idea-idea baru dan benar kepada masyarakat luar kampus. Selain itu, gerakan mahasiswa di universti awam, tidak harus melupakan pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi Swasta. Pertukaran idea dan maklumat antara kedua-dua belah pihak ini perlulah dipergiatkan.

Keempat: Agenda untuk menangani persoalan-persoalan semasa yang berlaku turut patut dilakukan oleh gerakan mahasiswa. Menyelesaikan isu-isu semasa sama ada isu sosial, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain perlu dianggap sebagai sebahagian daripada tanggungjawab gerakan mahasiswa.

PENUTUP

Ramai orang beranggapan, kalau kita ingin melihat rupa gaya pemimpin masa hadapan, lihatlah mereka yang menjadi pemimpin-pemimpin di universiti-universiti ketika saat itu. Kalau lembab dan lemah pemimpin-pemimpin pelajar di universiti sekarang, maka begitulah keadaan pemimpinnya pada masa akan datang. Kalau penakut dan pengampu pemimpin-pemimpin mahasiswa sekarang, maka begitulah keadaannya di kemudian hari. Kalau tiadanya karismatik dan kreativiti pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa sekarang maka yang itulah bentuk pemimpin yang bakal lahir pada masa datang. Begitulah sebaliknya jika pemimpin-pemimpin ini bersifat cintakan kebenaran hakiki, berani demi keadilan, berpandangan jauh, sentiasa kritis dan analitis, maka Insya-Allah s.w.t. pemimpin di abad mendatang akan jauh lebih berkarisma dan terkehadapan sifatnya. Akhir kata kita mengharapkan ahli-ahli dan kepimpinan gerakan mahasiswa akan sentiasa bersifat terbuka untuk menerokai idea-idea baru yang membina untuk menuju abad yang mendatang.

Oleh: Mohd Rushdan B. Mohd Jailani

Pengerusi Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama’ Malaysia (SPPUM)

BIBLIOGRAFI

- Kalim Siddiqui, “Stages of Islamic Revolution” London, The Open Press, 1996

- Kalim Siddiqui, “Issues in the Islamic Movement” London, The Open Press, 1983

- Al-Attas, Syed Muhammad Naquib, “Islam and Secularism” Kuala Lumpur, ISTAC, 1993

- Abdul Rahman Abdullah, “Pemikiran Islam di Malaysia, Sejarah dan Aliran” Kuala Lumpur, DBP, 1998

No comments: